Jepun kaji varian virus baharu

TOKYO, 12 JAN – Jepun berusaha mengasingkan dan menganalisis varian baharu koronavirus yang dikesan dalam empat orang yang tiba dari Brazil, kata pegawai kementerian kesihatan hari ini.

Jepun mengumumkan pengesanan varian baharu pada Ahad, tetapi pegawai telah berusaha menekankan bahawa belum adanya bukti yang menunjukkan ia lebih mudah berjangkit atau berbahaya daripada ‘strain’ lain.

“Demi menganalisis varian seterusnya, kami perlu mengasingkannya terlebih dahulu,” beritahu pegawai kementerian kesihatan kepada AFP.

“Adalah sukar untuk berkata sekarang bila kami boleh mengeluarkan butir-butir,” kata beliau, menambah proses tersebut mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan.

Varian itu ditemui dalam dua orang dewasa dan dua kanak-kanak yang tiba di Jepun pada 2 Januari dari Brazil.

Kementerian kesihatan berkata seorang daripada empat individu, seorang lelaki dalam umur 40an, telah dimasukkan ke hospital dengan masalah pernafasan, sementara seorang wanita dan kanak-kanak lelaki mengalami gejala ringan dan seorang budak perempuan asimptomatik.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata semalam ia telah dimaklumkan oleh Jepun mengenai varian baharu itu, mengingatkan ‘lebih banyak virus menular, lebih tinggi peluang perubahan baharu dalam virus berkenaan.’

Institut Penyakit Berjangkit Nasional Jepun berkata terdapat beberapa persamaan di antara ‘strain’ yang baru dikesan dan yang ditemui di UK dan Afrika Selatan. – AFP

Wanita dalam pakaian tradisional kimono berjalan di arked membeli-belah di daerah Asakusa, Tokyo kelmarin. Jepun berusaha mengasingkan dan menganalisis varian virus baharu yang dikesan dalam empat orang yang tiba dari Brazil baru-baru ini. – AP