Jepun kuarantin pelawat dari China, Korea selatan

TOKYO, 5 MAC – Jepun akan mengkuarantin mereka yang datang dari China dan Korea Selatan selama dua minggu semasa ketibaan mereka untuk mencegah penularan koronavirus baharu, kata perdana menteri negara itu hari ini.

“Kami akan memperkukuhkan kuarantin imigresen ke atas rakyat dari dua buah negara itu,” kata Perdana Menteri Shinzo Abe kepada pasukan petugas peringkat kabinet semasa pertemuan berkaitan virus terbabit.

“Kami akan meminta mereka untuk tinggal di kawasan khas selama dua minggu dan tidak menggunakan pengangkutan awam di negara ini,” tambah Abe, mengatakan langkah itu akan dikuatkuasakan bermula 9 Mac dan berakhir sehingga hujung bulan ini.

Kerajaan menyeru pelancong dari China, tempat virus itu muncul dan Korea Selatan, yang telah dilanda teruk dengan wabak itu, untuk menangguhkan perjalanan ke Jepun dan akan membatalkan visa bagi para pengunjung dari dua buah negara, kata Abe.

“Bagi mengurangkan jumlah perjalanan masuk dari China dan Korea Selatan, kami akan mengehadkan ketibaan destinasi bagi pesawat udara dari dua buah negara ke lapangan terbang Narita dan Kansai,” katanya.

“Kami akan menangguhkan pengangkutan para penumpang menggunakan kapal laut dan membatalkan sementara, serta beberapa visa yang sudah dikeluarkan.”

Lebih 95,000 orang telah dijangkiti dan lebih 3,200 mati di seluruh dunia akibat COVID-19, yang kini menular kepada kira-kira 80 buah negara dan wilayah. – AFP

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe (dua, kiri) bercakap semasa mesyuarat mengenai COVID-19 di Tokyo pada 5 Mac. – AFP