Jepun lancar aplikasi jejak virus

TOKYO, 18 JUN – Kerajaan Jepun hari ini menggesa rakyatnya supaya memasang aplikasi pengesan koronavirus pertama dalam negara apabila ia dilancarkan pada minggu ini, dengan berjanji sistem tersebut tidak akan menceroboh privasi pengguna.

Aplikasi telefon pintar itu, yang seperti di kebanyakan negara bergantung pada penjejak Bluetooth dan kebenaran pengguna, akan dilancarkan esok.

“Ia adalah alat penting untuk melin-dungi nyawa anda, maka tolong pasang aplikasi tersebut,” beritahu Yasutoshi Nishimura, menteri yang bertanggungjawab terhadap respons koronavirus kerajaan, pada sidang media.

Perisian itu akan mencatat data daripada pengguna aplikasi telefon pintar apabila mereka mempunyai kontak terlalu dekat di antara satu sama lain.

Apabila pengguna yang diuji positif dijangkiti koronavirus mendaftar maklumat mereka secara suka rela, pengguna lain yang mempunyai kontak dalam jarak satu meter selama 15 minit akan dimaklumkan.

Aplikasi itu, dibangunkan di bawah penyeliaan kementerian kesihatan, tidak akan merekod data yang boleh mengenal pasti individu, seperti nombor telefon atau lokasi, maka ‘anda boleh menggunakannya dengan rasa selamat,’ kata jurucakap kerajaan Yoshihide Suga pada minggu ini.

Aplikasi penjejak virus telah dilancarkan di puluhan negara lain dalam pelbagai bentuk, sesetengahnya menimbulkan kebimbangan mengenai privasi dan pemantauan kerajaan.

Di negara lain, Hong Kong dan Taiwan telah menggunakan GPS dan wi-fi untuk mengawasi orang yang dikuarantin dan Korea Selatan telah mengeluarkan amaran di telefon pintar mengumumkan lokasi yang dikunjungi oleh orang dijangkiti. – AFP