TOKYO, 4 MEI – Perdana Menteri Shinzo Abe hari ini melanjutkan perintah darurat kerana koronavirus sehingga hujung bulan Mei ini, memberi amaran ia terlalu awal untuk melonggarkan sekatan.
Namun Abe mengatakan satu penilaian semula situasi itu akan dijalankan dalam masa dua minggu dan langkah-langkah sekatan akan dibatalkan sebelum akhir bulan ini jika jangkitan baharu semakin perlahan.
Dan beliau membayangkan bahawa tidak akan ada lanjutan perintah darurat, mengatakan Mei akan menyaksikan usaha negara ‘mencari jalan keluar.’
“Saya harus berterus-terang dan meminta anda untuk meneruskan usaha anda dalam sedikit masa lagi,” kata Abe pada satu sidang media selepas mengumumkan pelanjutan perintah darurat.
“Pada tahap ini, pengurangan orang dijangkiti masih belum mencapai tahap memadai.”
Abe sudah pun mengisytiharkan perintah darurat selama sebulan yang pada awalnya meliputi Tokyo dan enam lagi wilayah lain pada 7 April dan kemudian meluaskannya ke seluruh negara. Ia dijangka berakhir pada 6 Mei dan Abe mengatakan langkah-langkah itu mengurangkan jangkitan baharu dari sekitar 700 sehari kepada satu pertiga daripadanya.
Penularan virus Jepun masih kecil berbanding dengan negara-negara di Eropah dan Amerika Syarikat, dengan lebih 15,000 jangkitan manakala 510 kematian direkodkan. – AFP


































