Jepun longgarkan sekatan kemasukan warga asing

TOKYO, 1 OKT – Jepun pada hari ini melonggarkan sekatan kemasukan warga asing dari seluruh dunia yang dilaksanakannya bagi mengekang penularan COVID-19, namun kemasukan untuk pelancong asing masih belum dibenarkan, lapor agensi berita Xinhua.

Mereka yang dibenarkan seperti profesional perubatan, guru dan lain-lain yang berkelayakan untuk penginapan jangka sederhana atau panjang selama tiga bulan atau lebih, kata pemerintah, turut layak ialah mereka yang melancong untuk tujuan perniagaan kurang dari tiga bulan.

Pelancong yang layak perlu diuji negatif COVID-19 sebelum masuk atau sebaik sahaja tiba di Jepun, penaja mereka, seperti syarikat atau organisasi yang menyokong mereka, diharap dapat memastikan mereka melakukan pengasingan diri  selama 14 hari, sepanjang tempoh itu mereka tidak dibenarkan untuk menggunakan pengangkutan awam.

Kerajaan menyatakan akan mempertimbangkan kemasukan 1,000 warga asing ke negara ini setiap hari, khususnya kepada mereka yang merancang untuk tinggal selama tiga bulan atau lebih, sambil berusaha meningkatkan jumlahnya pada bulan-bulan seterusnya.

Ketika ini, penduduk dari 159 negara dan wilayah dilarang memasuki negara itu, tetapi Jepun secara stabil telah melonggarkan sekatan masuk ke negaranya.

Warga asing dengan status penduduk Jepun yang telah berada di luar negara baru-baru ini diizinkan masuk semula, manakala ekspatriat dan penduduk jangka panjang lain dari beberapa negara Asia juga telah dibenarkan masuk ke negara itu. – Bernama