Jepun lulus hukuman penjara untuk buli dalam talian

TOKYO, 13 JUN – Parlimen Jepun hari ini meluluskan rang undang-undang (RUU) bagi menjadikan buli siber sebagai jenayah yang boleh dihukum penjara, dengan semakan tambahan dijalankan dalam tempoh tiga tahun pelaksanaannya bertujuan menilai kesesuaiannya dengan hak kebebasan bersuara, lapor media.

Rang undang-undang itu meminda kanun keseksaan negara untuk memperkenalkan hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda sehingga 300,000 yen (AS$2,230), berbanding hukuman sekarang iaitu penjara kurang daripada 30 hari dan denda 10,000 yen.

Had statut untuk buli juga akan dilanjutkan dari satu tahun kepada tiga tahun, lapor Sputnik memetik laporan Agensi Berita Kyodo.

Pindaan itu akan berkuat kuasa 20 hari selepas ia diisytiharkan. Ia akan dikaji semula dalam tempoh tiga tahun bagi memastikan ia tidak melanggar hak kebebasan bersuara, seperti yang dikhuatiri pembangkang.

Penggubalan undang-undang itu didorong selepas ahli gusti profesional Hana Kimura, 22 yang juga antara pelakon rancangan realiti Netflix Terrace House, didakwa membunuh diri pada Mei 2020 selepas mengalami buli siber di media sosial. – Bernama