Jepun memperingati 75 tahun pengeboman atom Hiroshima

TOKYO, 6 OGOS – Jepun memperingati ulang tahun ke-75 pengeboman atom Hiroshima hari ini, dengan datuk bandar mendesak dunia untuk bersatu menentang ancaman terhadap manusia termasuk yang berasal daripada senjata nuklear, lapor agensi berita Xinhua.

Datuk Bandar Hiroshima Kazumi Matsui berkata negara-negara harus “mengetepikan perbezaan mereka dan bersatu untuk mengatasi ancaman buatan manusia dan cabaran alam.”

“Masyarakat awam mesti menolak nasionalisme yang mementingkan diri dan bersatu menentang semua ancaman,” Matsui berkata pada upacara tahunan di Peace Memorial Park.

Upacara peringatan dikurangkan kerana penularan COVID-19 di Jepun dan keperluan untuk mengekalkan jarak sosial. Suasana hening seketika apabila semua yang hadir termasuk Perdana Menteri Shinzo Abe bertafakur pada 8:15 pagi waktu tempatan, iaitu waktu bom atom yang mengandungi uranium “Little Boy” dijatuhkan oleh pengebom AS meletup di Hiroshima pada 6 Ogos 1945. Bom itu mengorbankan sekitar 140,000 orang sehingga akhir tahun 1945.

Walaupun Jepun tidak menandatangani Perjanjian Larangan Senjata Nuklear, Abe dalam ucapannya, berkata negara-negara tidak boleh membiarkan perbezaan pendirian mengenai senjata nuklear semakin meluas. – Bernama