Jepun, New Zealand desak pasaran terbuka

KUALA LUMPUR, 20 NOV – Pemimpin dari Jepun dan New Zealand hari ini mengingatkan negara-negara daripada kembali kepada dasar perlindungan perdagangan, berkata mengekalkan pasaran terbuka adalah satu-satunya cara untuk memulihkan ekonomi global yang terkesan oleh pandemik COVID-19.

Bercakap menerusi pautan video dari Tokyo pada mesyuarat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Asia Pasifik, Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga berkata ‘Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka akan menjadi tunggak kemakmuran rantau ini.’

Jepun dan 14 negara Asia pada Ahad menandatangani perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau. Suga, yang menyandang jawatan baharu pada September, berkata Jepun akan mendesak perjanjian perdagangan bebas yang lebih luas di kalangan 21 anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

“Di tengah kemelesetan yang menghadapi ekonomi global, menggubal peraturan untuk ekonomi global yang bebas dan adil adalah amat penting,” kata beliau. “Sementara meneruskan usaha mempromosi pembaharuan WTO, Jepun berhasrat menubuhkan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik.”

Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern, yang bercakap kepada CEO selepas Suga, menyuarakan harapan pemimpin APEC akan mencapai persetujuan mengenai matlamat pembangunan untuk 20 tahun akan datang yang menumpu pada perdagangan bebas, digital, inovasi dan kemampanan dan keterangkuman.

“Tatkala kami menghadapi cabaran ekonomi terbesar generasi ini, kami tidak boleh mengulang kesilapan lampau dengan kembali kepada dasar perlindungan. APEC mesti komited untuk mengekalkan pasaran terbuka dan aliran perdagangan,” tegas beliau.

Sebagai pengerusi APEC tahun depan, Ardern menggesa ekonomi APEC supaya bekerjasama untuk ‘merangsang semula pertumbuhan dan merancang pemulihan ekonomi berkekalan yang mampan, inklusif dan berdigital. New Zealand juga akan menganjur mesyuarat APEC secara maya disebabkan pandemik. – AP

Gambar daripada video yang dikeluarkan oleh APEC Malaysia menunjukkan Jacinda Ardern (kiri) bercakap sementara Presiden Microsoft Brad Smith mendengar pada forum Dialog CEO sebelum sidang kemuncak APEC kelmarin. – AP