TOKYO, 29 Jan – Jepun bersedia untuk membuat pemeriksaan besar-besaran ke atas kira-kira 200 juta gajet bersambung rangkaian untuk mencari kelemahan keselamatan siber sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020, kata seorang pegawai hari ini.
Institut Nasional Teknologi Maklumat dan Komunikasi akan memulakan pemeriksaan mulai Februari untuk memeriksa kelemahan dalam barangan sedemikian seperti router, webcam dan peralatan rumah yang berkaitan dengan web.
Tokyo sedang bergegas untuk mempertingkat keselamatan siber tatkala negara itu bersiap sedia untuk menganjur acara global, seperti Piala Dunia Ragbi pada tahun ini, mesyuarat Kumpulan 20 dan Sukan Olimpik musim panas.
Keselamatan siber telah menjadi semakin penting apabila acara sukan memperkenalkan teknologi baharu untuk segalanya daripada penyiaran kepada tiket. Untuk pemeriksaan berkenaan, penyelidik akan mengambil ID dan kata laluan yang umum tetapi tidak selamat yang sering dieksploitasi oleh perisian seperti ‘abcd’, ‘1234’ atau ‘admin’ untuk melihat sama ada peranti tersebut boleh dimasuki oleh penggodam, kata jurucakap institut Tsutomu Yoshida.
Para penyelidik akan memeriksa gajet dengan kebenaran pembekal perkhidmatan Internet dan kebanyakannya akan memeriksa produk yang menggunakan kabel fizikal untuk memasuki Internet, kata beliau.
Institut itu tidak akan menjalankan operasi yang mahal dan kompleks yang diperlukan untuk memeriksa gajet peranti individu seperti telefon pintar, tetapi penelitian mungkin memeriksa router di kafe, misalnya, yang menyediakan sambungan percuma untuk pengguna telefon bimbit, kata Yoshida.
“Kami akan lihat, daripada 200 juta produk diperiksa, berapa banyak yang terdedah kepada risiko,” kata Yoshida. – AFP

































