Jepun perlukan lebih banyak sut pelindung

TOKYO, 15 APRIL – Bandar ketiga terbesar di Jepun telah meminta agar sumbangan sut pelindung untuk digunakan sebagai alat perlindungan diri oleh pekerja hospital yang bergelut menangani wabak ditingkatkan.

Kekurangan pakaian pelindung di Osaka sangat teruk sehingga sebilangan pekerja kesihatan terpaksa memakai plastik sampah sebagai sut pelindung mereka.

“Tolong hantarkan sut pelindung yang tidak terpakai,” kata Datuk Bandar Ichiro Matsui kepada wartawan kelmarin.

Wilayah ini menghadapi jumlah kes yang semakin meningkat, dengan lebih daripada 830 jangkitan tercatat – yang kedua tertinggi di negara ini selepas 2,171 kes di Tokyo.

“Sebilangan pekerja hospital memakai plastik sampah sebagai alternatif sut pelindung,” kata Matsui.

“Tidak masalah sama ada anda warga Osaka atau tidak. Tolong beri kami sut pelindung,” menurut laman web kerajaan bandar.

Permintaan itu datang selepas dua persatuan perubatan kecemasan Jepun mengeluarkan kenyataan bersama yang mengatakan sistem perubatan kecemasan kini semakin lemah.

“Jumlah hospital yang dapat menerima pesakit yang menderita demam dan masalah pernafasan semakin berkurangan,” menurut kenyataan itu, yang menambah bahawa pesakit ini malah dihantar ke klinik kecemasan.

“Kami bimbang pesakit yang menderita serangan jantung, strok, atau beberapa kecederaan mungkin kesuntukan waktu untuk dirawat,” kata kenyataan itu. – AFP