Jepun pertimbang kurangkan sekatan

TOKYO, 23 SEPT – Jepun mempertimbangkan untuk mengurangkan sekatan sempadan yang ketat bermula Oktober untuk membenarkan lebih banyak pendatang asing untuk masuk ke negara itu, menurut laporan media tempatan hari ini.

Walau bagaimanapun, kemasukan pelancong masih lagi disekat dan hanya mereka yang mempunyai visa jangka masa panjang yang diluluskan sahaja dibenarkan, menurut laporan, ketika negara sedang memulihkan ekonomi mereka dan bersedia untuk Sukan Olimpik yang tertunda tahun hadapan.

Jepun ketika ini melarang kemasukan warga asing dari kebanyakan negara, tetapi membuat rundingan secara perlahan-lahan untuk membuka semula sempadan mereka bagi perjalanan atas urusan perniagaan. Pelawat bagi tujuan perniagaan dari tujuh buah negara telah dibenarkan – termasuk Thailand, Vietnam dan Taiwan.

Kebenaran menyambung semula perjalanan yang terhad tidak menyebabkan kes jangkitan virus bertambah, jadi kerajaan kini mempertimbangkan untuk membenarkan pemegang visa yang layak dari kesemua negara, menurut laporan akhbar Asahi Shimbun, menyebut sumber kerajaan yang tidak dinyatakan.

Beberapa buah media tempatan lain turut melaporkan berita yang serupa, yang turut tidak menyebut sumbernya. Ketibaan warga asing akan dihadkan kepada hanya 1,000 orang sehari dan tempoh tinggal minimum selama tiga bulan, menurut mereka.

Seorang pegawai agensi imigresen tidak dapat mengesahkan laporan tersebut, dengan mengatakan bahawa hanya rundingan mengenai membenarkan perjalanan atas tujuan perniagaan masih berterusan dengan beberapa buah negara. Jurucakap kerajaan, Katsunobu Kato memberitahu wartawan bahawa kementerian ‘akan mengkaji bagaimana penerimaan pelawat baharu sambil mencegah penularan jangkitan semula.’

“Kami akan membincangkan secara teliti mengenai isu ini sementara kami memantau situasi virus,” tambahnya.

Dengan Sukan Olimpik telah ditunda kepada bulan Julai, perbincangan masih dijalankan mengenai bagaimana untuk menangani kedatangan dan pergerakan atlet serta penonton. – AFP