Jepun pindah teknologi pertahanan kepada Vietnam

TOKYO, 12 SEPT – Jepun kini boleh memberikan peralatan dan teknologi pertahanan kepada Vietnam di bawah satu perjanjian yang dimeterai semalam, ketika kedua-dua negara berusaha mempertingkat kerjasama tentera di tengah kebimbangan mengenai pengaruh ketenteraan China yang semakin berkembang.

Menteri Pertahanan Jepun, Nobuo Kishi berkata perjanjian mempertingkat perkongsian pertahanan mereka ‘ke tahap baharu’ dengan Jepun dan Vietnam merancang memperkukuh hubungan pertahanan menerusi latihan bersama serta kaedah lain. Butir-butir mengenai pemindahan peralatan khusus, termasuk kapal tentera laut, akan dibincangkan dalam rundingan seterusnya, menurut kementerian.

Pertemuan Kishi dengan rakan sejawatan Vietnam, Phan Van Giang, di Hanoi diadakan serentak dengan lawatan dua hari ke ibu negara Vietnam Hanoi oleh Menteri Luar China Wang Yi. Beliau mengakhiri lawatannya dengan berkata China merancang menyumbang 3 juta dos vaksin koronavirus kepada Vietnam.

Perjanjian dimeterai dua minggu selepas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris mengunjungi Vietnam untuk memperkukuh hubungan dengan negara Asia Tenggara. Semasa kunjungan, Harris menggesa negara-negara supaya bersatu menentang ‘dasar buli’ oleh China di Laut China Selatan.

Kementerian Pertahanan Jepun berkata dalam satu kenyataan bahawa Kishi dan Giang bersetuju mengenai kepentingan mengekalkan kebebasan pelayaran dan penerbangan di rantau Indo-Pasifik, serta kerjasama dalam pelbagai bidang pertahanan termasuk keselamatan siber.

Vietnam ialah negara ke-11 yang telah memeterai perjanjian pemindahan peralatan dan teknologi pertahanan dengan Jepun. Tokyo bercadang menambah kerjasama tentera di luar sekutu lama AS, dan telah menandatangani perjanjian yang sama dengan Britain, Australia, Filipina dan Indonesia. – AP

Phan Van Giang (tengah kiri) dan Nobua Kishi (tengah kanan) bergambar bersama pegawai mereka selepas memeterai perjanjian di Hanoi, Vietnam kelmarin. – AP