YUKI, JEPUN – Musim bunga sakura yang terkenal di Jepun melitupi seluruh negara dalam bunga putih pokok ‘somei-yoshino’ yang amat berharga dan popular, sekali gus memukau penduduk dan juga pelawat. Namun ada juga sesetengah inginkan perubahan.
Musim itu mencetuskan keghairahan di seluruh negara, ketika peramal bersaing untuk mengumumkan bila musim bunga berkembang akan tiba, dan penduduk Jepun membentangkan tikar berkelah untuk parti-parti melihat bunga – sekurang-kurangnya dalam masa pandemik ini.
Bunga jenis somei-yoshino, yang menyumbang kepada lebih 90 peratus daripada pokok sakura yang ditanam di Jepun, hanya bertahan seminggu dan cenderung berbunga serentak di rantau tertentu disebabkan pokok-pokok adalah klon spesimen khusus.
Dan sementara pokok-pokok telah menjadi sinonim dengan musim bunga sakura, ia menimbulkan masalah kepada perancang bandar kerana jenis klon tersebut mudah terdedah kepada penyakit dan selalunya tumbuh sehingga terlalu besar untuk diuruskan dengan baik dalam persekitaran bandar.
“Segala-galanya adalah mengenai menanam flora yang betul di tempat yang betul,” kata Hideki Tanaka, pakar mengenai bunga sakura, yang cuba mempopularkan jenis klon lain.
“Terdapat pelbagai jenis sakura, bukan sahaja somei-yoshino. Saya ingin membantu mewujudkan suasana masa lampau apabila orang ramai menikmati pelbagai jenis bunga sakura,” tambah Tanaka, 63 tahun.
Beliau mengendali sebuah ladang di Yuki, di timur wilayah Ibaraki, Jepun, dengan kira-kira 1,000 sampel pokok yang terdiri daripada 400 jenis pokok sakura. Matlamatnya adalah meyakinkan pegawai tempatan di seluruh Jepun untuk menimbang alternatif dengan kelopak bunga dalam semua warna merah muda, atau warna unik hijau.
Ketika Tanaka duduk di atas rumput di kalangan pokoknya, kelopak bunga warna merah muda sebenar saiz kuku bergerak-gerak ditiup angin sepoi-sepoi, sementara bunga di kawasan lain masih belum berkembang.
Ia merupakan satu pemandangan musim bunga sakura yang lebih dihayati penduduk Jepun beberapa abad lalu, dengan musim bunga berkembang tiba pada masa berlainan.
Ladangnya diuruskan oleh Persatuan Bunga Jepun, yang memberikan anak pokok sakura kepada komuniti yang ingin mewujudkan tempat yang indah untuk menarik pelancong serta penduduk setempat.
Ladang itu telah mengagihkan kira-kira tiga juta anak pokok, termasuk somei-yoshino, tetapi kini ia sedang mempromosi jenis ‘jindai-akebono’ yang lebih tahan jangkitan dan tumbuh dalam saiz lebih kecil, menjadikannya lebih senang untuk dipangkas.
Bunganya berkembang sekitar empat hari lebih awal berbanding somei-yoshino dan mempunyai warna merah muda yang lebih terang.
Namun usaha untuk memujuk Jepun untuk meninggalkan jenis somei-yoshino mungkin sukar. Ketika pembangunan bandar meletus di bandar dari 1950 hingga 1980, bandar-bandar bersaing untuk menanam berjuta-juta pokok somei-yoshino yang boleh membesar dengan cepat.
Beberapa dekad kemudian, kebanyakan pokok berkenaan tidak dicantas dengan betul, meninggalkannya mudah terdedah kepada jangkitan dipanggil ‘witch’s broom’ yang merosakkan ranting, sekali gus menyebabkan pokok susah berbunga dan boleh mematikannya.
Somei-yoshino juga boleh membesar sehingga mencecah paras ketinggian bangunan lima tingkat dalam sesetengah kes – dengan dahan yang berselerak menjangkau dari batang besar yang boleh menghasilkan akar yang besar dan meretakkan laluan jalan kaki.
Pokok lebih tua menimbulkan risiko semasa musim ribut taufan, memberikan perancang bandar sebab-sebab untuk menggantinya.
Namun penduduk mempunyai pendapat berlainan.
Di kawasan barat Tokyo Kunitachi, ia mengambil masa tiga dekad untuk pegawai membuang kira-kira 80 daripada kira-kira 210 pokok yang dianggap perlu ditebang atau diganti.
Pokok-pokok berkenaan membentuk terowong bunga setiap musim bunga dan penduduk ingin mengekalkannya, kata Ryusuke Endo, pegawai di jabatan jalan raya dan lalu lintas bandar.
“Sesetengah orang berpindah ke sini untuk menikmati pemandangan indah dan membeli pangsapuri di sepanjang jalan,” katanya, menyifatkan penduduk tempatan sebagai amat menyayangi pokok berkenaan.
Manakala di kawasan lain, usaha untuk menebang kira-kira 300 pokok sakura di Yokohama di sepanjang jalan sibuk menimbulkan bantahan daripada orang awam dan menjadi tajuk berita televisyen.
Di Kunitachi, pegawai telah memulakan kempen menanam jenis pokok jindai-akebono yang dipromosi oleh ladang Tanaka, dan penduduk mula menerima ketibaan baharu itu.
“Saya percaya tunas hijau mula diterima penduduk yang mula melihat bunga hijau itu juga amat cantik,” kata Endo. Namun Tanaka berkata walaupun penyokong pelbagai diversiti sepertinya yakin somei-yoshino tidak sekali-kali akan disingkirkan sebagai raja bunga sakura Jepun.
Sebaliknya, beliau berharap dapat menggalakkan orang ramai ‘mempelajari diversiti pokok sakura yang amat unik itu.’
“Somei-yoshino sentiasa akan menjadi tarikan utama untuk acara melihat bunga sakura.
Saya ingin membantu komuniti mewujudkan tempat lain di mana orang boleh menghayati semua jenis bunga sakura.” – AFP