Jepun rancang buang air nuklear ke dalam laut

TOKYO, 13 APRIL – Jepun akan membuang lebih daripada sejuta tan air dirawat daripada kilang nuklear terjejas, Fukushima ke dalam laut, menurut kerajaan hari ini, mencetuskan reaksi marah serantau dan bantahan daripada komuniti nelayan tempatan.

Proses itu bagaimanapun kemungkinan tidak akan dimulakan dalam masa beberapa tahun lagi dan mungkin mengambil masa sedekad untuk selesai, namun China segera mengecam keputusan itu sebagai ‘amat tidak bertanggungjawab’ dan Korea Selatan pula memanggil duta Jepun.

Kerajaan Jepun menekankan bahawa pembuangan air adalah selamat kerana air itu telah diproses untuk mengeluarkan semua elemen radioaktif dan akan dicairkan.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) meluluskan pembuangan itu, yang menurutnya sama seperti membuang air buangan di kilang nuklear di tempat lain.

Perdana Menteri Yoshihide Suga memberitahu satu mesyuarat kementerian bahawa pembuangan air adalah satu ‘tugasan tidak dapat dielak’ dalam satu proses berdekad-dekad lamanya bagi penyahtauliahan kilang nuklear.

Menurutnya, pembuangan hanya akan berlaku selepas ‘memastikan tahap air selamat’ dan bersama beberapa langkah untuk ‘mencegah penjejasan reputasi.’

Namun pengumuman itu disambut dengan bantahan oleh komuniti nelayan tempatan, bimbang pembuangan air nuklear itu akan menjejaskan kerja bertahun-tahun untuk memulihkan keyakinan dalam industri makanan laut mereka.

“Mereka memberitahu kami tidak akan membuang air dalam laut tanpa sokongan daripada nelayan,” kata Kanji Tachiya yang mengetuai koperasi perikanan tempatan di Fukushima, memberitahu NHK menjelang pengumuman.

“Kami tidak akan menyokong langkah mungkir janji mereka dan membuang air ke dalam laut secara unilateral,” tambahnya. –AFP

Pembantah memegang pelekat slogan semasa satu rapat terhadap keputusan kerajaan untuk membuang air nuklear dirawat kilang Fukushima, di luar pejabat perdana menteri di Tokyo, 13 April. – AFP