Jepun rancang lanjutkan keadaan darurat

TOKYO, 1 MEI – Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berkata hari ini kerajaan akan merancang melanjutkan keadaan darurat untuk pandemik koronavirus selama satu bulan lagi.

Abe mengisytiharkan keadaan darurat sebulan untuk tujuh kawasan pada 17 April, kemudian meluaskannya untuk merangkumi seluruh negara.

Namun dengan langkah tersebut dijangka berakhir pada 6 Mei, Abe berkata beliau telah mengarahkan menteri untuk wabak virus Yasutoshi Nishimura untuk merancang ia dilanjutkan.

“Selepas menerima laporan daripada panel pakar, saya meminta Menteri Nishimura supaya melanjutkan keadaan darurat selama satu bulan lagi sebagai asas senario untuk merangka pelan yang bersesuaian dengan keperluan rantau,” kata Abe. Panel pakar yang menasihat kerajaan sedang mengkaji semula situasi di rantau berlainan dalam negara, tambah beliau. “Kami akan mendengar kepada pendapat mereka dan berharap akan membuat keputusan pada 4 Mei.”

Abe berkata Jepun setakat ini berjaya mengelak peningkatan mendadak dalam jangkitan yang dilihat di beberapa kawasan di dunia, namun mengingatkan langkah berjaga-jaga masih perlu dilaksanakan. Pelanjutan keadaan darurat telah pun dijangka, meskipun skala wabak kecil di Jepun, dengan hampir 14,300 jangkitan dicatat dan 432 kematian setakat ini. – AFP