Jepun siasat lebih 1,000 dos vaksin rosak

TOKYO, 2 MAC – Jepun hari ini memulakan siasatan berhubung kes lebih 1,000 dos vaksin COVID-19 yang terpaksa dibuang berikutan peti sejuk beku tidak berfungsi.

Sebuah institusi perubatan melaporkan, 172 bebuli vaksin Pfizer BioNTech yang perlu disimpan pada suhu antara -80 dan -60 darjah Celsius, didapati rosak selepas peti sejuk beku rosak pada hujung minggu.

Menurut Kementerian Kesihatan Jepun, akibat kerosakan itu, 1,032 dos vaksin didapati rosak dan terpaksa dibuang.

Jepun memulakan program inokulasi pada 17 Februari lalu, berbaki lima bulan lagi sebelum Sukan Olimpik Tokyo, dengan hanya meluluskan penggunaan vaksin Pfizer BioNTech setakat ini.

Jurucakap kerajaan Jepun, Katsunobu Kato, hari ini berkata punca peti sejuk beku itu tidak berfungsi masih belum jelas tetapi firma yang memasang peralatan itu akan menyiasat dan melaporkan kembali.

Jelas beliau, Jepun menyediakan sekitar 100 peti sejuk beku untuk me-nyimpan vaksin di negara itu setakat hujung Februari lalu.

“Kita mahu memberi maklum balas secepat mungkin terhadap apa yang diperlukan, berdasarkan hasil siasatan dilakukan oleh syarikat yang memasangnya,” katanya.

Jepun mula memberi vaksin kepada petugas kesihatan pada pertengahan Februari lalu. – AFP

Seorang pekerja kesihatan membawa vaksin Pfizer-BioNTech dalam peti sejuk. Jepun memulakan siasatan berhubung kes lebih 1,000 dos vaksin yang terpaksa dibuang berikutan peti sejuk beku tidak berfungsi. – AFP