Jepun sokong pemulihan ASEAN pasca pandemik

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-24, secara maya melalui persidangan video dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman.

Pada sidang kemuncak berkenaan, Baginda Sultan selaku Pengerusi ASEAN bagi 2021 bertitah mengetengahkan bahawa dalam beberapa tahun ini, Jepun merupakan rakan kongsi yang bernilai kepada ASEAN, selain membantu ASEAN membangun dan maju dalam banyak bidang.

Baginda bertitah memperakui sokongan dan bantuan Jepun kepada rantau ini dalam menangani pandemik COVID-19 melalui sumbangan vaksin kepada Negara-negara Anggota ASEAN, termasuk Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, Baginda bertitah menghargai sumbangan Jepun ke arah membina kapasiti rantau ini untuk lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran-cabaran kesihatan awam termasuk penubuhan ASEAN Centre for Public Health Emergencies and Emerging Diseases.

Dalam menghadapi ketidaktentuan akibat Revolusi Perindustrian Keempat, Baginda seterusnya menggalakkan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun untuk terus membentuk program-program dalam meningkatkan kapasiti penduduk bagi menangani isu-isu semasa seperti keselamatan siber.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-24 secara maya dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar serahan Host Photo

Baginda seterusnya bertitah, inisiatif-inisiatif berkenaan akan menyumbang ke arah pembentukan keselamatan dan kedayatahanan manusia sejagat di rantau ini untuk memelihara kemajuan, pembangunan dan kemakmuran penduduk bersama.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Fumio Kishida mengalu-alukan peluang untuk meningkatkan hubungan ASEAN-Jepun ke tahap baharu dengan mencadangkan Sidang Kemuncak Komemoratif Khas ASEAN-Jepun pada 2023 bagi meraikan ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama.

Dalam tempoh pemulihan pasca pandemik, TYT Fumio Kishida turut menggalakkan untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam perubahan iklim, kesihatan, pengurangan risiko bencana, transformasi digital dan pelaburan infrastruktur yang berkualiti.

Manakala Perdana Menteri Thailand, TYT Prayut Chan-o-cha selaku Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-Jepun dalam menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN antara lainnya menyokong peningkatan kerjasama dalam kesihatan awam.

Ini termasuk meningkatkan kerjasama dalam jenayah rentas negara, memerangi keganasan, keselamatan siber, penambahbaikan kepada rantaian bekalan serantau serta peningkatan hubungan serantau dan perkongsian dalam hubungan sosiobudaya.

Dalam sidang kemuncak itu, para pemimpin ASEAN menyampaikan penghargaan atas bantuan Jepun dalam menyokong pemulihan ASEAN daripada pandemik COVID-19, termasuk sumbangan kepada Dana Respons COVID-19 ASEAN dan latihan penyelidik dan pakar untuk ASEAN Center for Public Health Emergencies and Emerging Disease.

Para pemimpin juga menggalakkan peluang untuk mempergiatkan lagi kerjasama dalam bidang-bidang termasuk ekonomi digital, infrastruktur berkualiti, pertumbuhan hijau serta kemudahan perdagangan dan pelaburan ke arah pembangunan dan pemulihan yang mampan.