Jepun sumbang 50,000 pelitup muka N95

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Sebanyak 50,000 pelitup muka N95 telah disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan oleh kerajaan Jepun bagi menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada masa ini.

Sumbangan pelitup muka berkenaan adalah di bawah Projek Simpanan Stok Asia-Europe Foundation (ASEF) yang dibiayai oleh kerajaan Jepun.

Penyerahan sumbangan berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Atsushi Suda kepada Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail dalam majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sumbangan pelitup muka N95 berkenaan merupakan sumbangan terbaharu oleh kerajaan Jepun sebagai tambahan kepada sumbangan 100,000 dos vaksin AstraZeneca yang dibuat di Jepun serta Geran Bantuan Kecemasan berjumlah kira-kira AS$800,000 yang merangkumi peralatan perubatan melalui United Nations Children’s Fund (UNICEF).

Sementara itu, organisasi-organisasi swasta Jepun juga menghulurkan sumbangan dalam usaha menangani COVID-19 termasuk 500 kit Ujian Pantas Antigen (ART) dan 1,750 pelitup muka N95 daripada Persatuan Persahabatan Brunei Jepun serta sumbangan gaun pembedahan bernilai $10,000 daripada Mitsubishi Corporation yang disumbangkan baru-baru ini.

ASEF telah terlibat dalam pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kefahaman kebudayaan antara Asia dan Eropah dengan tumpuan kepada bidang sosiobudaya.

ASEF bekerjasama dengan kerajaan Jepun sebagai sebahagian daripada Inisiatif ASEM bagi Pengawalan Pantas Pandemik Influenza, di mana ASEF menghantarkan peralatan pelindungan diri (PPE) kepada rakan-rakan ASEAN untuk menyokong usaha dalam menentang pandemik COVID-19. Sebagai rakan dialog ASEAN yang penting, Jepun juga telah menyumbangkan AS$1 juta kepada Dana Respons COVID-19 ASEAN dan AS$50 juta bagi penubuhan ASEAN Center for Public Health Emergencies and Emerging Diseases (ACPHEED).

Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah (kiri) menerima sumbangan 50,000 pelitup muka N95 daripada kerajaan Jepun yang disampaikan oleh Atsushi Suda pada majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, kelmarin.