Jepun tambah lebih banyak katil hospital

TOKYO, 12 NOV – Kerajaan Jepun kini bersiap sedia bagi gelombang koronavirus seterusnya termasuk menambah beribu-ribu lagi katil hospital bagi mengelak situasi sama seperti musim panas lalu apabila pesakit-pesakit COVID-19 dipaksa tinggal di rumah, walaupun terpaksa bergantung dengan oksigen.

Meskipun Jepun mempunyai sistem insurans kesihatan berpatutan dan mempunyai jumlah katil terbesar per kapita dunia, pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke wad hanya satu perlima daripada katil-katil, kebanyakannya di hospital-hospital awam, universiti dan swasta. Kerajaan telah menyediakan subsidi bagi menarik lebih banyak hospital merawat pesakit terbabit namun perkembangannya agak perlahan, mencetuskan seruan bagi langkah-langkah lebih tegas dalam masa-masa kecemasan.

Hospital swasta kecil agak keberatan menerima pesakit COVID-19, memetik kurangnya pakar untuk mengendalikan penyakit berjangkit, kakitangan atau kos tinggi. Sebahagian wilayah telah menetapkan sistem di mana hospital-hospital akan menerima pesakit tidak lagi berjangkit dan yang sudah pulih.

Langkah-langkah menangani virus adalah kunci kepada cengkaman kuasa kerajaan Perdana Menteri Fumio Kishida yang baru berusia seminggu, selepas ketidakpuasan hati orang awam terhadap respons perdana menteri sebelumnya – dikritik sebagai terlalu kurang dan perlahan langkahnya – dan mengharapkan perubahan dalam tindakan kerajaan.

Pendekatan langkah-langkah koronavirus baharu disepakati pada mesyuarat kabinet hari ini mengatakan kerajaan akan memperuntukkan lebih banyak katil hospital bagi rawatan COVID-19 pada hujung November ini, agar sehingga 37,000 pesakit, meningkat daripada 28,000 orang boleh dimasukkan ke dalam wad jika penularan bertambah berbanding gelombang awal pada musim panas. – AP

Penduduk melalui kawasan pejalan kaki ketika senja berlabuh di kawasan Aoyama, Tokyo. Jepun merancang mempersiapkan lebih banyak katil di hospital seluruh negara bagi menangani gelombang baharu COVID-19, meskipun menyaksikan pengurangan drastik penularan. – AP