Jepun tarik balik perintah darurat

TOKYO, 25 MEI – Jepun membatalkan perintah darurat di seluruh negara disebabkan koronavirus hari ini, membuka semula ekonomi ketiga terbesar dunia secara berperingkat tatkala pegawai kerajaan mengingatkan langkah berjaga-jaga masih diperlukan untuk mengelak gelombang baharu.

“Kami mempunyai kriteria amat ketat untuk membatalkan perintah darurat. Kami telah memutuskan bahawa kami telah memenuhinya,” beritahu Perdana Menteri Shinzo Abe pada sidang media yang disiarkan di televisyen.

Berbanding dengan kawasan yang teruk terjejas di Eropah, Amerika Syarikat, Rusia dan Brazil, Jepun telah terlepas daripada pandemik paling teruk, dengan 16,581 jangkitan dan 830 kematian.

Perintah darurat dibatalkan di kebanyakan negara minggu lalu, tetapi kerajaan memilih untuk menunggu sebelum membatalkan langkah tersebut di ibu negara dan kawasan sekitarnya, serta wilayah Hokkaido.

Abe memuji kejayaan Jepun dalam meratakan lengkungan virus, berkata negara ‘berjaya menunjukkan kekuatan model Jepun.’

Namun beliau mengingatkan bahawa penduduk perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan ‘normal baharu’ dan mengelak ‘tiga Cs,’ iaitu ruang tertutup, tempat sesak dan kontak rapat.’

“Jika kami kurang berjaga-jaga, jangkitan akan merebak dengan cepat, kami perlu berhati-hati,” tegas beliau.

“Kami perlu mewujudkan gaya hidup baharu, mulai sekarang kami perlu menukar cara pemikiran kami.” – AFP

Perdana Menteri Shinzo Abe meninggalkan satu tempat selepas sidang media di Tokyo kelmarin. – AFP