Jepun tawar bantu Indonesia tangani COVID-19

JAKARTA, 21 OKT – Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga kelmarin berkata akan memberi pinjaman 50 bilion Yen Jepun (AS$473 juta) kepada Indonesia dengan mengenakan kadar faedah yang rendah, dalam usaha membantu Jakarta membendung COVID-19.

Tawaran itu dibuat kepada Presiden Indonesia Joko Widodo semasa perbincangan yang diadakan di Jakarta, lapor Agensi Berita Vietnam memetik KyodoNews.

Suga yang dalam rangka lawatan ke Asia Tenggara itu turut bersetuju untuk memulakan rundingan mengenai membuka semula perjalanan perniagaan antara kedua-dua negara.

Beliau tiba di Jakarta selepas mengadakan lawatan ke Hanoi. – Bernama

Gambar pada 20 Oktober lalu menunjukkan Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga dan isteri serta Presiden Indonesia Joko Widodo dan isteri melambai tangan semasa pertemuan untuk mesyuarat di Istana Presiden di Bogor, Indonesia.Suga berkata akan memberi pinjaman sebanyak AS$473 juta kepada Indonesia dengan mengenakan kadar faedah yang rendah. – AP