Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Jepun terjejas akibat salji lebat dan angin kuat

    TOKYO, 25 JAN – Salji lebat dan angin kencang hari ini terus menjejaskan banyak bahagian di Jepun, dengan keadaan ribut mengganggu beberapa sistem pengangkutan.

    Memandangkan sebahagian besar negara itu kini berhadapan musim paling sejuk dalam tempoh sedekad, pengendali kereta api di laluan utama mengurangkan kekerapan perkhidmatan atau menggantung semua operasi mereka, lapor Xinhua.

    East Japan Railway Company berkata syarikat itu akan menghentikan operasi kereta api Shinkansen antara beberapa stesen di laluan Yamagata sepanjang hari ini dan menggantung operasi di sebahagian daripada perkhidmatan laluan Tohoku.

    Kedua-dua laluan kereta api Shinkansen iaitu Tokaido dan Sanyo pula mengalami kelewatan kerana kereta api laju itu akan bergerak lebih perlahan di beberapa bahagian disebabkan keadaan berfros.

    Beberapa laluan lebuh raya dari Tohoku ke wilayah Kyushu juga ditutup dengan kemungkinan besar lebih banyak lagi laluan akan ditutup kerana diliputi salji.

    Perkhidmatan pengangkutan lori terjejas akibat salji tebal di Lebuhraya Shin-Meishin di Yokkaichi. – AFP

    Jalan utama lain ditutup bagi membersihkan salji, menurut kementerian pengangkutan.

    Pemandu digesa mengelak daripada membuat perjalanan yang tidak penting dan sentiasa memantau perubahan cuaca dan keadaan trafik.

    Di kawasan yang sudah diliputi salji dan ais, pemandu dinasihatkan untuk menggunakan tayar musim sejuk dan rantai salji jika perlu.

    Japan Airlines dan All Nippon Airways juga berkata syarikat penerbangan itu merancang untuk membatalkan ratusan penerbangan hari ini dan meminta penumpang menyemak dan mengesahkan penerbangan mereka seawal mungkin.

    Agensi Meteorologi Jepun berkata beberapa bahagian di negara itu menyaksikan penurunan suhu ke paras paling rendah dilihat dalam tempoh sedekad.

    Cuaca sejuk dijangka berterusan hingga Khamis, kata agensi cuaca itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...