TOKYO, 4 OGOS – Gelombang haba di Jepun terus berlanjutan tanpa tanda-tanda reda, dengan suhu di Kyushu hampir mencecah 40 darjah Celsius pada hari ini, lapor Xinhua memetik ramalan cuaca.
Kawasan di barat dan timur Jepun dijangka mengalami suhu melebihi 35 darjah Celsius sepanjang hari, menyebabkan amaran strok haba dikeluarkan di 37 wilayah.
Dengan cuaca panas yang berterusan hingga malam, suhu pada waktu siang Ahad diramalkan mencapai tahap berbahaya.
Di Kurume, Fukuoka, suhu dijangka mencapai maksimum 39 darjah Celsius manakala di Saga dan Kumamoto, suhu dijangka mencapai 38 darjah Celsius.
Tokyo dijangka mengalami suhu sekitar 35 darjah Celsius.
Sehingga 11 pagi waktu tempatan hari ini, indeks tekanan haba atau Wet Bulb Globe Temperature (WBGT), mencapai tahap merah di kebanyakan bahagian negara. – Bernama