TOKYO, 26 OKT – Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga hari ini menetapkan 2050 sebagai tempoh akhir bagi ekonomi ketiga terbesar di dunia itu menjadi neutral karbon, menegaskan komitmen perubahan iklim negara itu.
Menyampaikan ucapan dasar pertamanya sejak pelantikan, Suga meletakkan alam sekitar di hadapan ketika Jepun berusaha untuk mendahului jaminan iklim yang dibuat oleh ekonomi-ekonomi besar yang lain.
“Kita akan membawa sejumlah besar gas rumah hijau (dikeluarkan oleh Jepun) kepada sifar bersih menjelang 2050, bermaksud neutral karbon,” kata Suga kepada parlimen.
“Saya umum kita akan dapat merealisasikan masyarakat menyah-karbon,” tambahnya.
Tokyo sebelumnya hanya berhasrat untuk mencapai neutral karbon kira-kira setengah abad lagi, satu matlamat yang dikritik sebagai samar-samar.
Sasaran baharu itu dipuji oleh aktivis dan disambut baik oleh PBB sehingga meletakkan Jepun dalam garisan waktu sama dengan Eropah dan Britain dan sedekad lebih awal daripada China, yang bulan lalu menetapkan matlamat 2060.
Suga tidak memberi butiran terperinci bagaimana Jepun, sebuah negara yang masih bergantung pada batu arang, akan memenuhi tarikh akhir itu namun berkata teknologi akan menjadi keperluan.
“Kuncinya adalah inovasi,” katanya, memetik contoh termasuk bateri solar generasi akan datang. – AFP