Jepun tuntut Rusia pulangkan bot nelayan yang dirampas

TOKYO, 19 DIS – Jepun mahu Rusia segera pulangkan semula lima bot nelayan yang dirampas sebelum dan dibawa ke Pulau Kunashiri, satu daripada pulau yang menjadi pertikaian kedua-dua negara, lapor agensi berita Xinhua.

Kementerian Luar Jepun telah mengemukakan bantahan kepada Rusia dan menuntut menyerahkan semula penumpang dan bot itu.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga berkata bot milik koperasi perikanan di Nemuro, timur Hokkaido itu ditahan dan digeledah oleh peronda sempadan Rusia.

Beliau berkata anak kapal kemudian dibawa ke sebuah pelabuhan di Furukamappu, juga dikenali sebagai Yuzhno-Kurilsk, di Pulau Kunashiri, untuk siasatan lanjut.

Sedangkan menurut kementerian anak kapal secara sukarela memberitahu barangan yang dibawa kepada pengawal Rusia, namun pihak Rusia masih menahan bot itu dengan alasan untuk pemeriksaan lanjut.

Tokyo dan Moscow dibelenggu persengketaan susulan pertikaian mengenai kedaulatan empat pulau yang dikuasai Rusia, menyaksikan kedua-dua negara gagal menandatangani perjanjian damai selepas Perang Dunia II dan menghalang hubungan diplomatik serta perdagangan.

Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi kini berada di Moscow untuk lawatan selama lima yang antara lain akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya, Sergei Lavrov.

Motegi, yang mengetuai rundingan dengan Rusia berhubung pertikaian itu, berkata pertemuan dengan Lavrov adalah untuk mencari penyelesaian terhadap kemelut yang telah berlarutan berdekad lamanya. – Bernama

Sergei Lavrov (kanan) berjabat tangan bersama Toshimitsu Motegi semasa sidang media pada pertemuan mereka di Moscow pada 19 Disember. – AFP