TOKYO, 9 DIS – Jepun, United Kingdom (UK) dan Itali hari ini berkata mereka akan bersama-sama membangunkan jet pejuang generasi akan datang dalam projek yang mempunyai skop untuk kerjasama masa depan dengan sekutu termasuk Amerika Syarikat (AS).
Jet baharu itu, yang akan siap menjelang 2035, dijangka menggabungkan penyelidikan semasa negara ke dalam teknologi pertempuran udara termaju, daripada kapasiti senyap kepada penderia berteknologi tinggi.
Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga buah negara itu berkata ‘usaha bercita-cita tinggi’ akan ‘mempercepatkan keupayaan ketenteraan dan kelebihan teknologi kami yang maju’ pada masa ‘ancaman dan pencerobohan semakin meningkat’ di seluruh dunia.
Pengumuman mereka disertai dengan satu set imej yang menunjukkan ilustrasi artis jet baharu, Tempest, yang anggun terbang melepasi Gunung Fuji dan merentasi London dan Rom.
Mereka tidak memberikan anggaran kos, tetapi ketiga-tiga negara itu sudah mencurahkan berbilion dolar ke dalam pembangunan jet pejuang, usaha yang akan disatukan di bawah projek bersama, yang dipanggil Program Tempur Udara Global.
“Kami berkongsi cita-cita untuk pesawat ini menjadi pusat sistem tempur udara yang lebih luas yang akan berfungsi merentasi pelbagai domain,” menurut kenyataan itu.
Ia termasuk ‘operasi kerjasama masa depan bersama AS, dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan rakan kongsi kami’ di Eropah, Asia dan seluruh dunia, jelasnya. – AFP