Jerami gulung jadi tarikan di Yan

YAN – Kampung Kuala Dulang Yan Kechil, di sini terus menjadi tumpuan penduduk di negeri ini dan kawasan sekitar untuk bergambar bersama susunan menarik jerami gulung di kawasan sawah padi.

Tinjauan Bernama mendapati pengunjung pelbagai peringkat usia sanggup menahan terik matahari untuk merakam gambar masing-masing dan seterusnya berkongsi di media sosial.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Kampung Kuala Dulang Kechil, Ismail Mohd Zain berkata idea untuk menyusun jerami-jerami tersebut daripada golongan belia yang mahu menghias dan mewujudkan kawasan cantik di kampung itu. “Sebanyak 24 gulung jerami dibeli oleh penduduk daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dengan harga RM1,000 pada Januari lepas.

“Proses menyusun dan reka bentuk jerami ini dibuat secara gotong-royong oleh golongan belia yang beramai-ramai menghias tempat ini yang mengambil masa tiga hari,” katanya.

Menurut Ismail, selain berpeluang berswafoto dengan jerami gulung, penduduk setempat turut menyediakan perkhidmatan lain di situ termasuk menunggang kuda dan memandu kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) selain gerai makanan dan minuman. – Bernama