Jerayawara berigakan perintah bayaran keluar, masuk 2020

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 9 JULAI – Jerayawara bagi memberigakan Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk, 2020 kepada para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di seluruh negara, bermula hari ini, di Daerah Belait yang berlangsung di Dewan Persidangan Kuala Belait.

Jerayawara kendalian Kementerian Kewangan dan Ekonomi itu menjelaskan mengenai perintah yang akan dikuatkuasakan pada 1 Ogos berkenaan yang akan memberi kuasa kepada pengawal kastam dan eksais diraja, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk mengenakan caj ke atas setiap orang yang akan keluar dari atau masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan darat.

Hadir untuk menyampaikan maklumat dan menjelaskan lebih lanjut mengenai perintah berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Prestasi dan Korporat) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayang Suraya binti Haji Jaidin dan Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja di JKED, Haji Muhsin bin Haji Ahmad.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku penghulu Mukim Liang dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di daerah ini. Semasa jerayawara berkenaan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dapat membangkitkan soalan mengenai pelbagai kemusykilan.

Jerayawara seterusnya akan di Daerah Temburong pada 11 Julai ini di Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, bagi Daerah Tutong jerayawara akan diadakan pada 13 Julai di Dewan Utama, Kompleks Kemasyarakatan Daerah Tutong dan bagi Daerah Brunei dan Muara, jerayawara akan diadakan selama tiga hari iaitu pada 14, 16 dan 18 Julai di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi di mana kesemua jerayawara berkenaan akan bermula pada pukul 8:30 pagi hingga 10:30 pagi.

Dayang Suraya semasa menyampaikan maklumat lebih lanjut mengenai Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk.
Yang Berhormat Haji Abdul Hamid dan Yang Berhormat Awang Hanapi antara yang hadir mendengar penjelasan jerayawara tersebut hari ini.