Jerayawara isu keselamatan perairan diadakan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang awam mengenai isu-isu keselamatan perairan khususnya keselamatan nelayan-nelayan semasa berada di kawasan perairan, jerayawara bertemakan ‘Bersama Menjayakan Keselamatan Perairan’ telah diadakan di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM), jerayawara yang dikendalikan bersama oleh Task Force Keselamatan Pelantar Minyak Luar Pantai (TF KPMLP) dengan kerjasama Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) itu juga dihasratkan untuk memberigakan kepentingan menjaga keselamatan pelantar-pelantar minyak luar pantai Negara Brunei Darussalam dan peraturan serta undang-undang yang berkaitan keselamatan maritim. Ia juga dihasratkan sebagai wadah interaksi dan komunikasi antara agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan maritim dengan stakeholders swasta, nelayan dan operator-operator bot tempatan.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi jerayawara berkenaan ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat selaku pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Maritim (JKKM).

Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah semasa menyaksikan salah satu pameran dari agensi yang ikut serta dalam jerayawara berkenaan.