Jerayawara kenali ASEAN diteruskan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Bagi memberi pendedahan mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada penuntut sekolah, Jabatan Perdana Menteri, melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa telah mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN kepada 120 orang penuntut Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA) di dewan sekolah berkenaan, kelmarin.

Taklimat disampaikan oleh Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim yang antara lain menanamkan kesedaran dan rasa milik di kalangan para penuntut sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan moto ASEAN iaitu ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti’.

Taklimat juga memberigakan Negara Brunei Darussalam sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2021.

Pada majlis itu, kuiz ASEAN turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran penuntut mengenai ASEAN selain untuk mengenal pasti sejauh mana pengetahuan mereka mengenai ASEAN dan peranan organisasi ini dalam membangun negara-negara a
nggotanya.

Jerayawara yang dianjurkan menerusi Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI itu merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat
perpaduan (ASEAN-ness) di kalangan penuntut-penuntut dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

Selain daripada itu, jerayawara tersebut diadakan untuk mengukuhkan hubungan antara jabatan dengan masyarakat penuntut-penuntut yang merupakan bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.

Turut dipromosikan semasa taklimat berkenaan ialah aplikasi mudah alih We ASEAN yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara ahli ASEAN, kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video.

Aplikasi berkenaan merupakan salah satu projek di bawah Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI.

Antara pelajar Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam yang menghadiri jerayawara berkenaan. – Gambar serahan Jabatan Penerangan