Thursday, February 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerayawara Kewangan diteruskan di Temburong

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Radio Televisyen Brunei (RTB), Tabung Amanah Pekerja (TAP), Jabatan Daerah Temburong serta institusi-institusi dan agensi-agensi berkenaan telah mengadakan jerayawara kelima bersempena dengan Hari Menabung Kebangsaan 2017 di Dewan Kemasyarakatan Belalong, Temburong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada jerayawara tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu yang juga selaku penghulu Mukim Bokok.

    Turut hadir pada jerayawara tersebut ialah pegawai-pegawai kanan AMBD serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan, KHEU dan Jabatan Daerah Temburong.

    Dengan tema ‘Generasi Celik Kewangan’, jerayawara tersebut diharap akan dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan untuk menabung, boleh berdikari dari segi kewangan (financial independence) dan seterusnya untuk meningkatkan kesedaran para penuntut mengenai cara-cara untuk menangani isu-isu kewangan.

    Ketika jerayawara itu diadakan di Daerah Temburong.
    Ketika jerayawara itu diadakan di Daerah Temburong.

    Ini selaras dengan usaha AMBD untuk membangunkan generasi yang celik kewangan dan juga matlamat Wawasan Brunei 2035 bagi Negara Brunei Darussalam untuk mempunyai ekonomi yang dinamik dan mapan, serta rakyat dan penduduk yang berkemahiran tinggi.

    Seramai 100 penuntut dari sekolah-sekolah menengah di Daerah Temburong telah dijemput ke jerayawara tersebut, di mana para penuntut telah ikut serta dalam permainan-permainan dan aktiviti-aktiviti interaktif yang bertemakan ‘pengurusan kewangan dan pengenalan mata wang’ dianjurkan oleh AMBD, TAP, BIBD dan Insurans Islam TAIB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda