Jerayawara PKBN bermula

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN) kini sedang mengadakan jerayawara Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) di The Mall Gadong di mana ia berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Jerayawara bertujuan untuk mempromosikan serta memberigakan program berkenaan kepada orang ramai khususnya remaja-remaja di negara ini yang berminat untuk menyertai PKBN pengambilan ke-10.

Pendaftaran bagi pengambilan ke-10 kini telah dibukakan kepada orang ramai dan permohonan boleh dibuat melalui secara dalam talian menerusi ysnet.gov.bn atau mengambil borang pendaftaran di kaunter perkhidmatan di Ibu Pejabat BKBN, Anggerek Desa Berakas.

Tarikh untuk mengembalikan borang pendaftaran adalah pada 7 November 2020 di Ibu Pejabat BKBN, Anggerek Desa.

Sesi kemasukan pelatih PKBN pengambilan ke-10 akan diadakan pada 29 November 2020 di Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, Temburong manakala itu, majlis pelancarannya akan diadakan pada 5 Disember depan.

Jerayawara PKBN diadakan di The Mall Gadong selama tiga hari yang bertujuan untuk memberigakan PKBN kepada para remaja.

Program berkenaan akan berjalan sehingga 11 Mac 2021 di mana acara kemuncak adalah upacara perbarisan tamat latihan.

Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat 2, BKBN, Dayang Wardina binti Haji Abdul Wahab telah mengongsikan kelebihan menyertai program PKBN, yang mana menurutnya, para pelatih berpeluang untuk menambah pengetahuan mereka secara meluas.

Mereka juga akan diberikan peluang dalam program bidang keusahawanan dan mempelajari lebih mendalam tentang keusahawanan menerusi taklimat oleh pihak LiveWire.

Menyentuh mengenai jerayawara berkenaan, beliau berharap akan mendapat menarik remaja yang berminat untuk menjadi pelatih bagi pengambilan akan datang.

Jerayawara serupa juga akan diadakan di Pusat Membeli-belah KB Sentral, Daerah Belait, selain itu, BKBN juga akan mengadakan taklimat PKBN ke sekolah-sekolah kerajaan di keempat-empat daerah dan pada 22 Ogos, taklimat PKBN akan diadakan di Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, Daerah Temburong.

Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Urus Setia PKBN di talian 2340045. Maklumat mengenai kemasukan PKBN pengambilan ke-10 juga boleh dilayari melalui laman sesawang PKBN, pkbn.gov.bn ataupun Instagram PKBN.