Friday, August 12, 2022
24.7 C
Brunei

Jerayawara promosi warisan budaya

-

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 4 OGOS – Sebagai usaha mempromosikan lagi warisan budaya negara ini, terutamanya dalam kalangan belia dan pelajar, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Kebudayaan dan Kesenian dengan kerjasama Jabatan Muzium-muzium dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan jerayawara kebudayaan ke Daerah Belait hari ini.

Diadakan di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA), jerayawara berkenaan dihadiri oleh Pemangku Pengarah Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Haji Mohd Abdoh bin Haji Awang Damit yang dialu-alukan oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran SMSA, Hajah Mazizan binti Haji Mohammad dan Timbalan Pengetua Akademik, Sharifah Raihani binti Haji Wan Ali.

Dengan dihadiri oleh lebih 200 pelajar dari sekolah berkenaan, antara aktiviti yang dijalankan termasuk deklamasi puisi dan sajak oleh pelajar-pelajar dan ahli Kelab Seni Kreatif sekolah berkenaan.

Aktiviti-aktiviti lain termasuk tayangan video mengenai tarian tradisi selain persembahan gulingtangan oleh Kumpulan Senandong Darussalam dan diikuti dengan tarian aerobik bertemakan tarian tradisi Brunei.

Di samping itu, Haji Mohd Abdoh juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan taklimat ringkas mengenai ‘Sopan Santun’ yang merupakan sebahagian daripada budaya Brunei.

Kemudian, para pelajar berpeluang mengunjungi pameran yang diadakan di mana mereka boleh berinteraksi dan bermain dengan bermacam-macam bahan pameran termasuk alat muzik dan permainan tradisional seperti gulingtangan, congkak, dan banyak lagi, selain menyertai kuiz-kuiz dan permainan untuk memenangi hadiah.

Dengan jerayawara di Daerah Belait itu, Bahagian Kebudayaan dan Kesenian berhasrat untuk meneruskannya ke seluruh negara dengan harapan untuk memelihara dan mengekalkan nilai-nilai budaya Brunei.

Para pelajar berpeluang mempelajari mengenai permainan-permainan tradisi menerusi pameran yang diadakan.
Persembahan gulingtangan turut diadakan sebagai sebahagian daripada aktiviti semasa jerayawara berkenaan.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

DXY disekat kritik rawatan herba COVID

BEIJING, 11 OGOS – Sebuah laman web perubatan China yang popular telah ditapis oleh pihak berkuasa kerana 'melanggar undang-undang dan peraturan yang berkaitan', beberapa...
- Advertisment -