Jerayawara promosikan PKBN

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 28 OGOS – Berikutan kejayaan jerayawara yang diadakan di Daerah Brunei dan Muara bulan lalu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menerusi Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN) telah meneruskan lagi jerayawara Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) di Pusat Membeli-Belah KBSentral di mana ia akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Jerayawara berkenaan bertujuan untuk mempromosikan tempoh pendaftaran bagi pengambilan ke-10 program berkenaan yang menyasarkan belia-belia yang berusia 16 hingga 21 tahun.

Awang Muhammad Hazim bin Haji Hamzulani daripada Platun 7 pengambilan ke-9 PKBN, ketika ditemui menjelaskan bahawa jerayawara berkenaan dijalankan untuk mempromosikan pelbagai program dan aktiviti yang dijalankan sepanjang latihan selama tiga bulan.

Dengan latihan dijadualkan bermula pada lewat November depan hingga Mac tahun depan, beliau berharap bahawa para pelatih pengambilan ke-10 dan pengambilan PKBN seterusnya akan mengambil peluang untuk menyokong wawasan negara kerana belia memainkan peranan penting dalam masa depan negara.

Sementara itu, Timbalan Komandan Kem Latihan PKBN di Batu Apoi, Temburong, Mejar (B) Sofian bin Haji Mohd Yassin yang turut hadir memantau jerayawara berkenaan berkata, pelbagai latihan, kuliah dan kerja kesukarelawanan dijalankan sepanjang program berkenaan, dengan tujuan untuk mempromosikan semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia.

Awang Muhammad Hazim dan rakannya menerangkan mengenai program PKBN kepada salah seorang pengunjung jerayawara di Daerah Belait.

Beliau turut menjelaskan bahawa belia yang berjaya mengikuti PKBN mempunyai bonus tambahan kerana masa yang mereka luangkan dalam program itu memberi kelebihan dalam mencari pekerjaan atau melanjutkan pengajian.

Dengan menjalani latihan (di PKBN), jelas beliau, bermakna mereka telah membuktikan bahawa mereka sihat daripada segi fizikal dan telah mengharungi banyak cabaran.

Sehubungan dengan ini, orang ramai yang berminat boleh mengunjungi jerayawara berkenaan yang diadakan di tingkat pertama pusat membeli-belah berkenaan untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya serta mendapatkan borang-borang pendaftaran.

Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian menerusi ysnet.gov.bn atau mengisi borang yang disediakan dengan pendaftaran akan ditutup pada 7 November depan.

Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Sekretariat PKBN di talian 2340045, layari laman sesawang pkbn.gov.bn atau ikuti PKBN di Instagram.