BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Bagi memaklumkan orang ramai terutamanya pengusaha makanan dan pemilik restoran mengenai Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan) 2017, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah akan mengadakan jerayawara mengenainya di keempat-empat daerah bermula 17 Mei ini.
Di Daerah Brunei dan Muara, jerayawara akan diadakan di Dewan Multaqa Bangunan Tambahan KHEU, Jalan Dewan Majlis pada 17 dan 20 Mei, Daerah Tutong pada 22 Mei di Dewan Utama Dewan Kemasyaratan Tutong, Daerah Temburong pada 23 Mei di Dewan Serbaguna Bumiputera, Kompleks Bumiputra, Pekan Bangar, manakala di Daerah Belait, ia akan diadakan di Dewan Persidangan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria pada 25 Mei. Kesemua jerayawara akan bermula pukul 9 pagi.
Pindaan berkenaan diwartakan pada 26 Januari 2017 dan akan dikuatkuasakan pada 26 Mei 2017.
Menurut kenyataan KHEU, antara isi kandungan utama dalam pemberigaan tersebut adalah mewajibkan permohonan sijil halal dan permit halal ke atas pemilik perniagaan yang berkaitan dengan makanan di Negara Brunei Darussalam.
Peniaga makanan yang sudah beroperasi tetapi belum bersijil Halal akan diberikan tempoh peralihan selama enam bulan selepas tarikh dikuatkuasakan untuk membuat permohonan, manakala bagi peniaga yang baru beroperasi akan diberikan masa enam bulan dari tarikh ia mula beroperasi untuk membuat permohonan Sijil Halal dan/ atau Permit Halal.
Pindaan Perintah Sijil Halal dan Label Halal akan memperkenalkan penguatkuasaan kesalahan-kesalahan. Juga disampaikan adalah mengenai peluasan skop pensijilan halal secara sukarela kepada produk kosmetik, barang gunaan dan perkhidmatan seperti logistik.
Objektif pindaan tersebut adalah untuk mengukuhkan Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 dan penguatkuasaannya demi meningkatkan pengawalan kehalalan makanan bagi premis perniagaan dan memastikan makanan dan produk yang dijual dan perkhidmatan tertentu di negara ini terjamin kehalalannya. Ia diharap akan meningkatkan keyakinan masyarakat di negara ini dalam pemilihan makanan.
KHEU menekankan bahawa Bahagian Kawalan Makanan Halal akan sentiasa membuat pemantauan ke atas premis yang bersijil Halal bagi memastikan pengusaha makanan sentiasa mematuhi kehendak dan syarat Sijil Halal dan prinsip Halalan Toyyiban sentiasa diamalkan di premis perniagaan.
Sehubungan itu, orang ramai terutama pengusaha makanan dan pemilik restoran dialu-alukan hadir ke jerayawara tersebut bagi mengetahui lebih lanjut dan memahami pindaan Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005.