Jerayawara tampil Suzuki Swift baharu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Boustead Sdn Bhd, sebagai pengedar tunggal Suzuki Automobile di negara ini, telah merasmikan versi facelift serba baharu bagi model Suzuki Swift yang popular.

Bagi memperkenalkan model baharu berkenaan dan memulakan kempen Burn & Conquer yang telah bermula awal Jun lalu sehingga penghujung Julai depan, Boustead menganjurkan jerayawara di The Mall, Gadong, bermula kelmarin hingga hujung minggu ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Boustead, konsep athletic & fitness disesuaikan dengan kempen Burn & Conquer dengan hadiah utamanya berupa kemasukan percuma selama setahun di Dynamic Gym dan baucar bernilai $1,000 untuk pelanggan Suzuki yang membuat pembelian dalam tempoh kempen ini dan berjaya membakar kalori tertinggi dalam satu sesi di Dynamic Gym.

Selain itu, konsep berkenaan sesuai dengan ciri-ciri utama penjualan Suzuki Swift yang merupakan elemen kelincahan, kesukanan dan kehebatannya.

Kenyataan menyatakan, pelancaran Suzuki Swift baharu itu tidak hanya dipamerkan melalui penampilan fizikal kenderaan semasa jerayawara berkenaan tapi juga dapat dilihat menerusi filem pendek sebagai tanda pelancaran Suzuki Swift baharu secara rasmi.

Film berjudul The Change Within itu menekankan kepada perjuangan seorang perenang muda untuk masuk ke dalam pasukan renang kebangsaan.

Semasa jerayawara itu, orang ramai yang menyertai aktiviti berswafoto bersama Suzuki Swift juga berpeluang mendapat baucar percuma Gong Cha.

Di samping itu, Suzuki Brunei juga mempamerkan model popular mereka yang lain seperti Suzuki S-Presso, Suzuki Ertiga dan salah satu SUV paling dipercayai selama lebih dari 30 tahun, Suzuki Vitara.

Suzuki Swift versi facelift baharu yang dipamerkan sepanjang jerayawara berkenaan.