Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Jerayawara tingkat celik kewangan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    TUTONG, 8 FEB – Ma’had Islam Brunei melalui Unit Tabung Amanah Penuntut (TAP) dan Celik Kewangan dengan kerjasama Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan beberapa buah institusi kewangan lain telah menganjurkan Jerayawara Celik Kewangan untuk kumpulan sasaran yang terdiri daripada pelajar-pelajar Sanah 5 hingga Sanah 7, di Dewan Besar, Ma’had Islam Brunei, Tutong, pagi tadi.

    Program diisikan dengan taklimat ringkas dan seterusnya mengikuti aktiviti-aktiviti praktikal dan interaktif bertujuan untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan pelajar seperti mengenal pasti jenis-jenis mata wang Brunei Darussalam dan pengurusan kad kredit atau debit. Selain itu, ia juga menampilkan kewangan Islam, sindiket penipuan, menabung atau simpanan, produk dan perkhidmatan perbankan, cara-cara mengenal pasti jenis penipuan kewangan, konsep asas dalam pelaburan serta produk dan juga perkhidmatan pelaburan.

    Program diadakan untuk menerangkan mengenai peranan BDCB terutama dalam hal pendidikan kewangan dan produk serta perkhidmatan tersedia yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan lain.

    Di samping itu, ia juga untuk meningkatkan kesedaran para pelajar tentang kepentingan mengurus dan merancang kewangan mereka dengan bijak bagi keperluan masa akan datang dan dalam waktu kecemasan iaitu melalui budaya menabung dan sikap berjimat-cermat.

    Ia turut diharap dapat memberikan pendedahan mengenai cara menghindari penipuan kewangan serta langkah-langkah apabila menghadapi sebarang isu kewangan.

    Dayang Nurhaziqah semasa ditemui Media Permata.
    Pelajar Sanah 5 sehingga Sanah 7 semasa mengikuti salah satu aktiviti praktikal dan interaktif pada Jerayawara Celik Kewangan anjuran Ma’had Islam Brunei dengan kerjasama Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) di dewan besar maahad tersebut di Tutong, kelmarin. Jerayawara dihasratkan meningkatkan tahap celik kewangan dalam kumpulan sasaran di institusi pendidikan negara ini. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
    Antara pelajar yang menyertai jerayawara berkenaan.
    Salah seorang pelajar diberigakan mengenai jenis-jenis penipuan kewangan.

    Salah seorang pelajar mendengar penerangan mengenai mata wang polimer Brunei.

    Sementara itu, semasa ditemui Media Permata, Dayang Nurhaziqah binti Alisa selaku penyelaras bagi Unit TAP dan Celik Kewangan Ma’had Islam Brunei mengongsikan bahawa program tersebut merupakan perancangan yang pertama kalinya diadakan di sekolah berkenaan di bawah unit itu.

    “Alhamdulillah para pelajar yang menyertai jerayawara pada pagi tadi dilihat begitu teruja mengikuti aktiviti-aktiviti yang dijalankan memandangkan kebanyakan mereka baru mengetahui perkara-perkara yang dikongsikan kepada mereka.

    “Ini termasuklah menghindari diri daripada penipuan kewangan dan isu kewangan lain seumpamanya,” jelas Dayang Nurhaziqah.

    Menyentuh mengenai kegiatan lainnya yang kendalikan oleh Unit TAP dan Celik Kewangan Ma’had Islam Brunei, Dayang Nurhaziqah menjelaskan bahawa pada tahun lepas unit berkenaan telah memperkenalkan Program Menabung yang dikhususkan kepada para pelajar Sanah 5 hingga Sanah 11 yang berminat untuk ikut serta ke dalam aktiviti yang menggalakkan mereka menyimpan wang. Pelajar yang berjaya membuat simpanan terbanyak akan diberikan hadiah sebagai penghargaan atas usaha mereka di sepanjang tahun.

    Sementara itu, unit itu juga merancang untuk mengadakan pertandingan menyimpan wang syiling 20 sen dan 50 sen bagi para pelajar setiap hari.

    Pada kesempatan yang sama, Dayang Nurhaziqah turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak BDCB dan beberapa buah institusi kewangan lain yang terlibat dalam menjayakan dan memeriahkan jerayawara tersebut.

    Beliau turut berharap dapat berpeluang untuk bekerjasama pada masa yang akan datang bagi menganjurkan program dan acara yang bermanfaat kepada para pelajar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...