Jerayawara tingkat celik kewangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) dengan kerjasama Persatuan Perancangan Kewangan Negara Brunei Darussalam (FPAB) dan Junior Achievement (JA), baru-baru ini, telah mengadakan jerayawara kesedaran kewangan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan AMBD, jerayawara bertujuan untuk meningkatkan celik kewangan serta memupuk gaya hidup kewangan yang sihat.

Lebih 370 orang penuntut tingkatan enam SMALHB telah menghadiri jerayawara tersebut yang meliputi taklimat-taklimat kewangan dan aktiviti interaktif berhubung hal-hal pengurusan kewangan, termasuk menabung, cara-cara menguruskan simpanan, pengurusan pinjaman, kewangan Islam dan cara-cara mengenal pasti penipuan kewangan.

Mana-mana organisasi atau agensi yang berminat untuk mengadakan jerayawara kesedaran kewangan atau kursus perancangan kewangan bolehlah menghubungi AMBD menerusi e-mel [email protected] atau hubungi talian 2388388.

Antara yang hadir semasa jerayawara tersebut.