Jerebu berbahaya selubungi Sydney

SYDNEY, 19 NOV – Sydney telah diselubungi jerebu berbahaya hari ini ketika kepulan asap dari kebakaran hutan merebak di kawasan pinggir laut timur Australia mengakibatkan paras pencemaran meningkat di bandar terbesar negara itu.

Data rasmi menunjukkan pencemaran telah mencecah tahap ‘berbahaya’ di seluruh Sydney dengan bacaan tertinggi ukuran zarah PM2.5 di barat laut bandar dengan indeks kualiti udara mencecah 186 bahagian per sejuta – berbanding Delhi – dan penduduk diberi amaran untuk tidak membuat aktiviti di luar.

Langit biru yang biasa dilihat di bandar pelabuhan itu bertukar menjadi kelabu dengan mercu tanda terkenal dunia, Sydney Opera House dan Jambatan Harbour kelihatan suram di sebalik latar langit.

Walaupun jerebu itu mula berkurang semasa tengah hari, ia mungkin akan meningkat kembali pada malam hari ini, kata Biro Meteorologi.

“Sydney yang juga dikenali sebagai ‘asap besar’ dan masih lagi dikenali dengan gelaran itu hari ini,” menurut catatan tweet peramal kaji cuaca.

Pengarah Kesihatan Alam Sekitar Kerajaan New South Wales, Richard Broome berkata partikel kecil dalam asap itu boleh menjejaskan sistem pernafasan dan merosakkan paru-paru dan keadaan jantung. “Bagi kebanyakan orang, asap tersebut mengakibatkan simptom ringan seperti sakit mata, hidung dan leher,” katanya.

“Bagaimanapun, bagi orang yang menghidap asma, emfisema dan angina akan mengalami kesan kesihatan lebih sensitif terhadap asap tersebut. – AFP

Seorang penumpang feri menyaksikan asap daripada kebakaran hutan yang menyelubungi ruang udara Sydney pada 19 November. – AFP