Jerebu di Miri masih di tahap bahaya

KUALA LUMPUR, 11 OGOS – Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Miri, Sarawak, masih mencatatkan status kualiti udara tahap bahaya dengan bacaan 395 setakat pukul 7 petang ini.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di Miri kembali menunjukkan trend peningkatan dengan bacaan lebih 300 sejak pukul 5 pagi tadi.

Sementara itu, di Selangor, Johan Setia Klang masih mencatatkan IPU tidak sihat dengan bacaan 126 pada pukul 7 petang.

Majoriti semua kawasan yang lain di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana sejak pagi tadi.

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya). – Bernama

Gambar dari WhatsApp menunjukkan kawasan industri Senadin berhampiran Kuala Baram diselubungi jerebu tebal.