Jerebu diramalkan landa Miri

MIRI, 15 April – Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini meminta orang awam untuk mengurangkan sebarang aktiviti luar berikutan ramalan jerebu akan melanda bandar raya Miri akibat kebakaran ladang serta tanah gambut seluas 70 hektar di Kuala Baram.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, lokasi kebakaran ialah sebuah ladang kelapa sawit namun tugas untuk memadamkan kebakaran mengalami kesukaran kerana tiada sumber air dan tiada laluan untuk memadamkan api.

“Proses pemadaman api akan dijalankan pukul 3 petang esok menggunakan helikopter bomba menerusi kaedah ‘pengeboman air‘ untuk mengawal serta memadamkan kebakaran,” katanya di sini malam ini.

Law berkata, setakat ini punca kebakaran di lokasi tersebut dipercayai kerana pembakaran terbuka.

“Orang awam dinasihatkan kurangkan aktiviti luar, banyak minum air, sentiasa berada di dalam rumah dan jika keluar rumah diminta memakai topeng muka,” katanya lagi. – Bernama