Jerebu jejas industri pelancongan Sarawak

MIRI, 11 OKT – Masalah jerebu yang melanda Sarawak selama dua bulan sejak Ogos lepas telah menjejaskan industri pelancongan di negeri itu.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata pihak berkepentingan dalam bidang pelancongan termasuk kerajaan negeri perlu bekerja dengan lebih keras untuk menarik lebih ramai pelancong kerana sehingga Ogos lepas, hanya 2.9 juta pelancong telah melawat Sarawak.

“Kami menyasarkan lima juta pelancong ke Sarawak tahun ini. Jerebu telah sedikit sebanyak menjejaskan ketibaan pelancong, walaupun ia agak mencabar, kami berusaha keras untuk mencapai sasaran itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Pemantauan Kenderaan (VMS) di Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh, di sini, hari ini.

Untuk rekod, masalah jerebu yang melanda Sarawak telah menyebabkan penutupan lebih 1,000 sekolah di negeri itu dengan bandar raya Miri, bandar raya Kuching, Sri Aman, Samarahan dan Betong menjadi kawasan paling teruk terjejas.

Situasi tersebut turut memaksa penangguhan pesta tahunan yang popular di negeri itu iaitu Pesta Benak Sri Aman yang telah dijadual diadakan pada 27 September sehingga 29 Oktober ini. – Bernama