Jeremy Lin bakal kembali ke NBA

BEIJING, 15 SEPT – Jeremy Lin berkata hari ini dia akan meninggalkan Beijing Ducks selepas satu musim di China dan ingin pulang ke NBA, di mana dia mencetuskan kempen ‘Linsanity’ pada 2012.

Pengawal berusia 32 tahun, yang bermain dalam pasukan Toronto Raptors pada 2019 menjadi atlet Asia-Amerika pertama yang memenangi kejohanan NBA, menandatangani untuk Beijing sebagai ejen bebas pada tahun lalu.

Lin membantu Beijing memasuki separuh akhir liga Persatuan Bola Keranjang China (CBA), di mana mereka disingkirkan oleh juara Guangdong Southern Tigers.

“Keputusan ini benar-benar yang paling sukar dalam hidup saya,” beritahu Lin, yang telah mengadu mengenai layanan kasar yang diterimanya dalam CBA, kepada tujuh juta pengikutnya dalam satu video di Weibo.

“Setiap pagi, saya akan bangun pada pukul 4 atau 5 pagi, memikirkan, memikirkan dan memikirkan sepanjang masa.

“Pada akhirnya, walaupun Shougang (Ducks) telah melayan saya dengan amat baik, memberikan saya segala yang saya ingini, pada akhirnya, saya rasa saya masih mempunyai impian NBA.

“Saya masih mempunyai masa untuk bermain di sana dan saya perlu mengejar impian ini.”

Lin memulakan kerjayanya dalam NBA dengan Golden State Warriors pada 2010 sebelum lagak wiranya bersama New York Knicks pada 2012 mencetuskan kegilaan bergelar ‘Linsanity’.

Dia terus bermain untuk beberapa pasukan NBA lain tetapi telah bergelut dengan kecederaan dalam musim baru-baru ini. – AFP

Gambar fail pada 4 Ogos 2020 menunjukkan Jeremy Lin bermain semasa perlawanan Persatuan Bola Keranjang China di antara Beijing Ducks dan Guangdong Southern Tigers di Qingdao, wilayah Shandong, China. – AFP