BERLIN, 11 APRIL – Kementerian Kesihatan Jerman berkata hari ini yang negara itu mungkin terpaksa menghapuskan tiga juta dos vaksin COVID yang mansuh pada hujung Jun ini.
Jurucakap kementerian, Hanno Kautz memberitahu wartawan di Berlin bahawa ‘tidak banyak dos’ telah dimusnahkan setakat ini, namun dia tidak memberikan jumlahnya sebenarnya.
Namun Kautz berkata ‘kami masih mempunyai banyak vaksin pada masa ini daripada yang telah digunakan dan didermakan’.
Menurutnya lagi, program yang disokong PBB untuk mengedarkan suntikan kepada negara-negara miskin, COVAX, pada masa ini tidak menerima sebarang sumbangan.
“Sudah pasti ia satu bahaya vaksin dihapuskan,” kata Kautz.
Bagaimanapun, tambahnya baru-baru ini diketahui yang vaksin BioNTech boleh disimpan lebih lama daripada yang sebelumnya diumumkan, oleh itu para pegawai Jerman kini percaya bahawa tiga juta dos itu mungkin perlu dihapuskan atau dimusnahkan pada hujung Jun – berkurang daripada anggaran sebelumnya sekitar 10 juta.
Program vaksinasi Jerman menjadi perlahan dengan purata hanya 33,000 suntikan diberikan sehari pada minggu lalu – berbanding lebih 1 juta semasa kempen penggalak negara itu yang rancak pada Disember.
Kira-kira 76 peratus penduduknya telah menerima vaksin lengkap manakala 59 peratus juga menerima dos penggalak.
Para pegawai tidak berpuas hati dengan kadar vaksinasi, terutama dalam kalangan warga emas, namun parlimen Jerman minggu lalu menolak cadangan untuk mewajibkan semua warga emas berusia 60 tahun ke atas untuk diinokulasi. – AP