Jerman aibkan Liechtenstein 9-0

BERLIN, 12 NOV – Hansi Flick menjadi jurulatih pertama memenangi enam perlawanan pertamanya sejak mengendalikan Jerman kelmarin apabila pasukannya menewaskan Liectenstein 9-0 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia.

Jerman yang sudah melayakkan diri ke Piala Dunia di Qatar tahun depan, membelasah pasukan tercorot Kumpulan J dengan sembilan gol dan memberikan rekod enam kemenangan berturut-turut untuk Flick sejak mengambil alih jawatan sebagai jurulatih pada Ogos.

Permulaan terbaik sebelum ini oleh jurulatih Jerman dicatat oleh Joachim Loew, yang digantikan oleh Flick, memenangi lima perlawanan pertama sebelum terikat menentang Cyprus pada 2006.

Loew, yang meletak jawatan selepas 15 tahun berkhidmat awal tahun ini, diberikan penghormatan ringkas sebelum perlawanan kelmarin dan kemudian menyaksikan Flick memecahkan rekodnya di Wolfsburg.

“Saya gembira kami memberikan Jogi sembilan gol semasa majlis penghormatan,” kata Flick kepada penyiar RTL.

Reaksi pemain penyerang Jerman, Thomas Mueller meraikan dengan rakan pasukan menjaringkan gol kelapan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia kelmarin. – AFP

Jerman memulakan permainan tanpa beberapa pemain utama selepas pemain pertahanan, Niklas Suele disahkan positif COVID-19 awal minggu dan Joshua Kimmich serta Jama Musiala diarahkan untuk menjalani kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

Jens Hofer dari Liechtenstein dilayangkan kad merah selepas hanya sembilan minit apabila dia mengasari Leon Goretzka.

Ilkay Gundogan berjaya menyempurnakan sepakan penalti, sebelum Jerman menjaringkan tiga gol dalam masa empat minit untuk menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-25.

Daniel Kaufmann melakukan kesilapan dengan menjaringkan gol sendiri selepas cuba memintas hantaran lintang Christian Gunter. Leroy Sani kemudian menambah gol menerusi percubaan kemas.

Selepas itu Sane membuat umpanan kepada Marco Reus untuk menjaringkan gol dari jarak dekat beberapa saat kemudian dan menambah satu lagi gol sejurus selepas rehat sebelum satu lagi jaringan gol dalam 15 minit terakhir.

Thomas Mueller menjaringkan gol dari jarak dekat untuk gol keenam Jerman dan Ridle Baku kemudian berjaya menyumbat satu gol.

Mueller menambah gol lima minit sebelum masa tamat dan jaringan terakhir perlawanan adalah hasil gol sendiri dari Maximilian Goeppel selepas bola terlantun. – AFP