BERLIN, 14 FEB – Jerman akan menamatkan kebanyakan sekatan kerajaan untuk memerangi pandemik koronavirus pada Mac, menurut draf pelan yang dilihat AFP hari ini, ketika kadar jangkitan baharu berkurangan.
Dua tahun selepas bermulanya wabak di Jerman, kawalan untuk mengekang penularan akan mula dibatalkan.
Sebagai langkah pertama, sekatan kontak akan dibatalkan sekali gus membenarkan lebih ramai orang bertemu, sementara akses ke kedai akan dibuka kepada semua tanpa pemeriksaan sama ada individu sudah menerima suntikan vaksin atau ujian.
Mulai 4 Mac, akses ke restoran juga akan dibuka kepada penduduk tanpa vaksin jika mereka menunjukkan ujian negatif.
Dalam langkah terakhir, ‘sekatan meluas ke atas kehidupan sosial, budaya dan ekonomi harus dibatalkan beransur-ansur pada musim bunga, 20 Mac 2022,” menurut draf dokumen yang diluluskan oleh pemimpin persekutuan dan negeri pada Rabu.
Selepas tarikh itu, ekonomi teratas Eropah akan bergantung pada ‘langkah perlindungan asas’ termasuk ‘pemakaian pelitup muka’ di khalayak ramai.
Peraturan yang mewajibkan majikan membenarkan kakitangan bekerja dari rumah jika boleh juga akan dibatalkan pada masa itu.
Canselor Olaf Scholz dijangka bertemu dengan pemimpin 16 negeri Jerman pada Rabu untuk mencapai kesepakatan mengenai langkah seterusnya dalam menangani pandemik.
Hari ini, Jerman melaporkan 76,465 jangkitan COVID-19 baharu dalam tempoh 24 jam lalu dan 42 kematian dalam minggu kedua berturut-turut untuk menunjukkan penurunan kadar. – AFP