Jerman belasah Estonia

MAINZ, 12 JUN – Jerman mengekalkan rekod sempurna mereka dalam kempen kelayakan Euro 2020 ketika Serge Gnabry dan Marco Reus menerajui pasukan dengan kemenangan bergaya 8-0 ke atas Estonia di Mainz awal pagi tadi.

Gnabry dan Reus masing-masing menjaringkan dua gol ketika Jerman mengamuk untuk meraih kemenangan ketiga dari tiga perlawanan dalam Kumpulan C. Estonia, tidak bermaya menentang skuad muda Jerman yang kelihatannya sudah melupakan kekecewaan Piala Dunia tahun lepas.

Kebanjiran gol bermula pada minit ke-10 apabila Ilkay Gungogan memulakan gerakan menarik yang menyaksikan Reus menjaringkan gol pembukaan. Gol itu telah membuka rentak di separuh masa pertama, di mana Gundogan dan Joshua Kimmich menjejaskan barisan pertahanan Estonia dengan hantaran jauh.

Gundogan menjadi arkitek sekali lagi apabila Gnabry menggandakan pendahuluan, dan Jerman 3-0 di depan selepas 20 minit menerusi jaringan Leon Goretzka.

Gol keempat mungkin hampir sama dengan jaringan ketiga sekiranya Joonas Tamm tidak mengasari Goretzka dalam petak penalti.

Serge Gnabry (tengah) cuba melepaskan sepakan ke gawang lawan sambil cuba dihalang oleh pemain pertahanan dan penjaga gol Estonia. – AP

Sepakan penalti berjaya disempurnakan oleh Gundogan.

Pada minit ke-37, ia adalah giliran Reus lagi, bintang Borussia Dortmund itu melepaskan sepakan bebas menarik yang menerjah sudut gawang.

Gnabry menjaringkan gol keduanya ketika perlawanan memasuki sejam, sebelum pemain gantian Timo Werner menambah jaringan ketujuh dengan penyudah menarik.

Sane melengkapkan kemenangan besar Jerman dengan meledakkan gol kelapan pada minit ke-88.

Perlawanan kelayakan Jerman seterusnya adalah menentang pesaing lama, Belanda di Hamburg pada 6 September nanti. – AFP