Jerman beli antibodi digunakan rawat Trump

FRANKFURT AM MAIN, 24 JAN – Jerman akan menjadi negara Kesatuan Eropah (EU) pertama yang mula menggunakan rawatan antibodi uji kaji sama yang membantu menyembuhkan Donald Trump daripada COVID-19, kata Menteri Kesihatan, Jens Spahn hari ini.

“Kerajaan telah membeli 200,000 dos dengan harga 400 juta euro,” beritahu Spahn kepada akhbar Bild am Sonntag, pada 2,000 euro setiap dos.

Pesakit akan menerima dos secara percuma, beritahu jurucakap kementerian kesihatan kepada AFP.

Dua jenis terapi antibodi akan disediakan kepada hospital universiti pada minggu akan datang, dengan Spahn berkata Jerman merupakan ‘negara pertama di EU’ yang menggunakannya dalam usaha memerangi pandemik.

Kedua-dua rawatan telah diluluskan untuk kegunaan kecemasan di Amerika Syarikat (AS) tetapi masih belum menerima lampu hijau daripada badan pengawal Eropah.

Jurucakap kementerian berkata badan pengawal Jerman, Institut Paul Ehrlich (PIE) telah memutuskan bahawa penggunaan ubat ‘pada dasarnya’ dibenarkan mengikut kes ke kes sekiranya doktor menganggapnya wajar untuk menghalang ‘penyakit serius di kalangan kumpulan berisiko tertentu.’

Jerman telah membeli dos antibodi Casirivimab/Imdevimab daripada firma AS Regeneron serta ubat antibodi Bamlanivimab daripada syarikat Eli Lilly. – AFP

Menteri Kesihatan, Jerman Jens Spahn dan Pengarah Institut Virologi di Charite Christian Drosten tiba untuk sidang media di Berlin, Jerman. – AP