Jerman benam juara bertahan

PARIS, 20 JUN – Jerman kembali bernyawa dalam kempen Euro 2020 mereka selepas mencatat kemenangan penting 4-2 ke atas pasukan juara bertahan, Portugal di Munich kelmarin meskipun Cristiano Ronaldo semakin hampir memecah rekod jaringan terbaik sepanjang zaman di peringkat antarabangsa.

Jerman mengetahui kekalahan di tangan Portugal di Allianz Arena akan membuatkan pasukan berada diambang penyingkiran dari Kumpulan F, berikutan kegagalan untuk melepasi peringkat kumpulan di saingan Piala Dunia 2018.

Portugal layak mara ke pusingan kelompok 16 terakhir dengan mencatat kemenangan dan Ronaldo berjaya meletakkan mereka di hadapan.

Pemain berusia 36 tahun itu melanjutkan rekod jaringan ke-12 di aksi final Kejohanan Eropah, dan gol antarabangsa ke-107 dalam 177 penampilan bersama negaranya.

Ini bermakna Ronaldo kini hanya ketinggalan dua gol untuk memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman, yang dicatatkan oleh Ali Daei dengan 109 gol bersama Iran.

Walau bagaimanapun, Jerman berjaya mengubah keputusan perlawanan sebelum separuh masa ketika Ruben Dias dan Raphael Guerreiro masing-masing menjaringkan gol sendiri.

Robin Gosens membantu Kai Havertz untuk menjadikan kedudukan 3-1 selepas separuh masa kedua bersambung dan kemudian menanduk masuk bola ke gawang untuk menambah gol keempat.

Jota berjaya merapatkan kedudukan untuk Portugal tetapi kekalahan tersebut menjejaskan peluang mereka untuk mara ke kelompok 16 terakhir dan Jerman kini menyasarkan untuk mara ke peringkat kalah mati.

“Kami dibenarkan untuk merasa sedikit gembira,” akui pemain Jerman, Thomas Mueller. – AFP

Reaksi Ronaldo menanduk bola semasa perlawanan menentang Jerman di Allianz Arena. – AFP