Jerman benarkan kemasukan pekerja ladang

BERLIN, 10 JUN – Kerajaan Jerman hari ini melonggarkan sekatan kemasukan untuk pekerja ladang bermusim yang pertama diperkenalkan untuk membantu membendung penularan koronavirus.

Bermula 16 Jun hingga 31 Disember, pekerja bermusim dari Kesatuan Eropah dan zon bebas pasport Schengen sekali lagi dibenarkan memasuki secara bebas ke Jerman melalui jalan darat atau udara untuk membantu menuai tanaman, umum Menteri Pertanian Julia Kloeckner.

“Sehingga akhir tahun, petani boleh menggaji pekerja bermusim tambahan dari luar negara,” kata Kloekcner, namun mengingatkan mereka perlu mematuhi peraturan kebersihan yang ketat.

“Ia adalah satu-satunya cara untuk bekerja secara bertanggungjawab semasa pandemik. Adalah penting petani masih boleh memetik hasil tanaman dan menyemai.”

Petani Jerman biasanya memerlukan kira-kira 300,000 pembantu asing setahun, terutamanya dari Poland dan Romania.

Gambar menunjukkan pekerja bermusim memetik asparagus yang tumbuh di bawah kanvas di ladang berhampiran kampung Bavaria Schrobenhausen, selatan Jerman. – AFP

Namun pada kemuncak krisis koronavirus pada Mac, kerajaan menutup sempadan dan mengehadkan jumlah pekerja bermusim yang dibenarkan masuk ke negara pada 80,000.

Petani malah menyewa penerbangan khas untuk membawa masuk pekerja Romania di tengah kebimbangan hasil strawberi dan asparagus mungkin dibuang disebabkan kekurangan pekerja.

Pada awal Jun, kurang 39,000 pekerja bermusim telah berkunjung ke Jerman, menurut kementerian pertanian.

Di bawah garis panduan baharu, yang dikuatkuasakan tatkala wabak koronavirus dianggap telah terkawal, pekerja perlu mengekalkan jarak sekurang-kurangnya 1.5 meter di antara satu sama lain dan bekerja dalam kumpulan kecil.

Jika sesiapa dijangkiti COVID-19, kumpulan mereka perlu diasingkan dengan serta-merta dan majikan mesti memaklumkan pihak berkuasa kesihatan tempatan. – AFP